Daftar Paytren Ustad Yusuf Mansyur

Selasa, 28 Januari 2014

SALAHUDIN AL AYUBI


Salahudin Al-Ayubi atau nama
sebenarnya Sholahuddin Yusuf bin
Ayyub, Atau Saladin –menurut
panggilan orang Barat– lahir pada
tahun 1137M, di kota Tikrit,
berhampiran dengan Sungai Tigris,
kira-kira 140 km dari kota Baghdad.
Beliau dari suku bangsa Kurdish dan
semasa dilahirkan keluarganya
dihalau dari Tikrit oleh pemerintah
Baghdad kerana dituduh
penghianat. Dalam perjalanan ke
Alleppo Salahudin dilahirkan
sehingga ayahnya berkata Anakku ini
dilahirkan ketika aku dalam
kesusahan. Aku bimbang
kelahirannya membawa sial. Tidak
siapa menyangka bayi itu menjadi
pahlawan terbilang.
Semasa kecilnya Salahuddin Al Ayubi
mendapat pendidikan ilmu
ketenteraan daripada bapa
saudaranya Asaddin Shirkuh atau
Assaddudin Shirkuwah seorang
panglima perang.
Salahuddin dibesarkan sama seperti
anak-anak Kurdish biasa.
Pendidikannya juga seperti orang
lain, belajar ilmu sains di samping
seni peperangan dan
mempertahankan diri. Tiada
seorangpun yang menyangka suatu
hari nanti dia akan merampas
kembali bumi Palestin dari tentera
Salib. Walau bagaimanapun Allah
telah mentakdirkannya untuk
menjadi pemimpin besar pada
zamannya dan Allah telah
menyediakan dan memudahkan
jalan-jalannya ke arah itu.
Kerjayanya bermula sebagai tentera
berkuda Al-Malik Nuruddin, sultan
Aleppo, kemudian dia diperintahkan
untuk pergi ke Mesir. Pada masa itu
Mesir diperintah oleh kerajaan
Fatimiyah yang berfahaman Syiah.
Pada mulanya Salahudin berasa
berat hati hendak berangkat ke
Mesir kerana lebih sayangkan
Aleppo. Sesungguhnya Allah
perancang yang Maha Bijaksana
seperti yang termaktub dalam Al
Quran; Boleh jadi kamu membenci
sesuatu, padahal ia amat baik
bagimu, dan boleh jadi kamu
menyukai sesuatu, padahal ia amat
buruk bagimu (Al-Baqarah:216).
Apabila Salahudin sampai di Mesir
keadaan tiba-tiba berubah. Dia yakin
Allah telah memberi tanggung jawab
kepadanya untuk membebaskan
Baitul Muqaddis dari penaklukan
Kristian. Dia menjadi seorang yang
zuhud dan tidak tergoda dengan
kesenangan dunia.
Stanley Lane Poole mencatatkan
bahawa Salahuddin mengubah cara
hidupnya kepada yang lebih keras.
Dia bertambah warak dan menjalani
hidup yang lebih berdisiplin dan
sederhana. Dia mengenepikan corak
hidup senang dan memilih corak
hidup sederhana yang menjadi
contoh kepada tenteranya. Dia
menumpukan seluruh tenaganya
untuk membina kekuatan Islam bagi
menawan semula Jerusalem.
Salahuddin pernah berkata, Ketika
Allah menganugerahkan aku bumi
Mesir, aku yakin DIA juga
bermaksud Palestin untukku. Ini
menyebabkan DIA memenangkan
perjuangan Islam.
Sehubungan dengan itu Salahudin
telah menyerahkan dirinya untuk
jalan jihad. Fikiran Salahuddin
sentiasa tertumpu kepada jihad di
jalan Allah. Bahauddin, jurutulis
Sultan Salahudin mencatatkan,
semangat Salahuddin sentiasa
berkobar-kobar untuk berjihad
menentang tentera Salib telah
menyebabkan jihad menjadi tajuk
perbincangan yang paling
digemarinya.Dia sentiasa
meluangkan seluruh tenaganya
untuk memperkuat pasukan
tenteranya, mencari mujahid-
mujahid dan senjata untuk tujuan
berjihad. Jika ada sesiapa yang
bercakap kepadanya berkenaan
jihad dia akan memberikan sepenuh
perhatian. Sehubungan dengan ini
dia lebih banyak di dalam khemah
perang daripada duduk di istana
bersama sanak keluarga. Siapa
sahaja yang menggalakkannya
berjihad akan mendapat
kepercayaannya. Apabila dia telah
memulakan jihad melawan tentera
salib dia akan menumpahkan
seluruh perhatiannya kepada
persiapan perang dan menaikkan
semangat tenteranya.
Dalam medan peperangan dia
bagaikan seorang ibu yang
kehilangan anak. Dia akan bergerak
dari satu penjuru ke penjuru yang
lain dalam usaha menaikkan
semangat tenteranya supaya benar-
benar berjihad di jalan Allah. Dia
sanggup pergi ke pelosok tanah air
dengan mata yang berlinang
mengajak umat Islam supaya
bangkit membela Islam. Ketika
perang berlansung dia lebih suka
berpuasa. Semasa mengepung Acre
dia demam namun tetap berpuasa.
Doktor peribadinya berkata bahawa
Salahuddin hanya berbuka dengan
beberapa suap makanan sahaja
kerena tidak mahu perhatiannya
kepada peperangan terganggu.
Kemenangan peperangan Hittin
telah membuka jalan mudah
kepada Salahuddin untuk menawan
Baitul Muqaddis. Bahauddin telah
mencatatkan bahawa Salahuddin
sangat-sangat berhajat untuk
menawan baitul Muqaddis Hajatnya
tercapai pada hari jumaat, 27 Rajab,
583H, iaitu pada hari Israk Mikraj,
Salahuddin telah memasuki Masjidil
al Aqsa.
Dalam catatan Bahauddin
menyatakan inilah hari kemenangan
atas kemenangan. Ramai orang yang
terdiri dari ulama, pembesar-
pembesar, peniaga dan orang-orang
biasa datang merayakan
kemenangan ini. Kemudiannya
ramai lagi orang datang dari pantai
dan hampir semua ulama-ulama
dari Mesir dan Syria datang untuk
mengucapkan tahniah kepada
Salahuddin. Boleh dikatakan hampir
semua pembesar-pembesar datang.
Laungan Allahhu Akbar dan Tiada
tuhan melainkan Allah telah
bergema ke angkasa.
Sifat penyayang dan belas kasihan
Salahuddin semasa peperangan ini
sangat jauh berbeda daripada
kekejaman tentera Salib. Ahli sejarah
Kristian pun mengakui hal ini. Lane-
Poole mengesahkan bahwa
kebaikan hati Salahuddin telah
mencegahnya daripada membalas
dendam. Dia telah menuliskan yang
Salahuddin telah menunjukkan
ketinggian akhlaknya ketika orang-
orang Kristian menyerah
kalah.Tenteranya sangat
bertanggung jawab, menjaga
peraturan di setiap jalan, mencegah
segala bentuk kekerasan hinggakan
tiada kedengaran orang-orang
Kristian diperlakukan tidak baik.
Selanjutnya Lane-Poole menuliskan
bagaimana pula tindak-tanduk
tentera Kristian ketika menawan
Baitul Muqaddis kali pertama pada
tahun 1099. Telah tercatat dalam
sejarah bahawa ketika Godfrey dan
Tancred menunggang kuda di jalan-
jalan Jerusalem jalan-jalan itu
'tersumbat' dengan mayat-mayat,
orang-orang Islam yang tidak
bersenjata disiksa, dibakar dan
dipanah dari jarak dekat dari atas
bumbung dan menara rumah-
rumah ibadah. Darah yang
membasahi bumi yang mengalir
dari pembunuhan orang-orang
Islam secara beramai-ramai telah
mencemarkan kesucian gereja di
mana sebelumnya kasih sayang
sentiasa diajarkan.
Maka sangat bernasip baik orang-
orang Kristian apabila mereka
dilayan dengan baik oleh
Salahuddin. Lane-Poole juga
menuliskan, jika hanya penaklukan
Jerusalem sahaja yang diketahui
mengenai Salahuddin, maka ia
sudah cukup membuktikan dialah
seorang penakluk yang paling
penyantun dan baik hati di
zamannya bahkan mungkin di
sepanjang zaman.
Lane-Poole juga menuliskan dalam
setiap peperangan Salahuddin
sentiasa berbincang dalam majlis
yang membuat keputusan-
keputusan ketenteraan. Kadang-
kadang majlis ini membatalkan
keputusan Salahuddin sendiri.
Dalam majlis ini tiada siapa yang
mempunyai suara lebih berat tiada
siapa yang lebih mempengaruhi
fikiran Salahuddin. Semuanya sama
sahaja. Dalam majlis itu ada adiknya,
anak-anaknya, anak saudaranya,
sahabat-sahabat lamanya,
pembesar-pembesar tentera, kadi,
bendahari dan setiausaha.
Semuanya mempunyai sumbangan
yang sama banyak dalam membuat
keputusan. Pendeknya semuanya
menyumbang dalam kepakaran
masing-masing. Walau apa pun
perbincangan dan perdebatan
dalam majlis itu, mereka
memberikan ketaatan mereka
kepada Salahuddin.
Bahauddin bin Shaddad, penasihat
utama Salahuddin telah
mencatatkan berkenaan kewarakan
Salahuddin. Dia sentiasa melakukan
sembahyang berjemaah. Bahkan
ketika sakitnya pun dia memaksa
dirinya berdiri di belakang imam. Dia
sentiasa mengerjakan sembahyang
Tahajjud. Bahauddin melihatnya
sentiasa sembahyang di belakang
imam ketika sakitnya, kecuali tiga
hari terakhir di mana ia telah
tersangat lemah dan selalu pingsan.
Dia tidak pernah tinggal
sembahyang fardhu. Tetapi dia tidak
pernah membayar zakat harta
kerana tidak mempunyai harta yang
cukup nisab. Dia sangat murah hati
dan akan menyedekahkah apa yang
ada padanya kepada fakir miskin
dan kepada yang memerlukan
hinggakan ketika wafatnya dia tidak
meninggalkan harta. Bahauddin
juga mencatatkan bahawa
Salahuddin tidak pernah
meninggalkan puasa Ramadhan
kecuali hanya sekali apabila
dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika
sakitnya pun ia berpuasa
sehinggalah doktor menasihat
kannya dengan keras supaya
berbuka. Lalu ia berbuka dengan
hati yang berat sambil berkata, Aku
tak tahu bila ajal akan menemuiku.
Maka segera ia membayar fidyah.
Dalam catatan Bahauddin juga
menunjukkan Salahuddin teringin
sangat menunaikan haji ke Mekah
tetapi dia tidak pernah
berkesempatan. Pada tahun
kemangkatannya, keinginannya
menunaikan haji telah menjadi-jadi
tetapi ditakdirkan tidak kesampaian.
Dia sangat gemar mendengar
bacaan Quran. Dalam medan
peperangan ia acap kali duduk
mendegar bacaan Quran para
pengawal yang dilawatnya sehingga
3 atau 4 juzuk semalam. Dia
mendengar dengan sepenuh hati
sehingga air matanya membasahi
dagunya.
Dia juga gemar mendengar bacaan
hadis Rasulullah saw. Dia akan
memerintahkan orang-orang yang
bersamanya duduk apabila hadis
dibacakan. Apabila ulama hadis
datang ke bandar, dia akan pergi
mendengar kuliahnya. Kadang
kadang dia sendiri membacakan
hadis dengan mata yang berlinang.
Salahuddin sangat yakin dan
percaya kepada pertolongan Allah.
Dia biasa meletakkan segala
harapan nya kepada Allah terutama
ketika dalam kesusahan. Pada satu
ketika dia berada di Jerusalem yang
pada masa itu seolah-olah tidak
dapat bertahan lagi dari pada
kepungan tentera bersekutu Kristian.
Walaupun keadaan sangat terdesak
dia enggan untuk meninggalkan kota
suci itu. Malam itu adalah malam
Jumaat musim sejuk. Bahaauddin
mencatatkan, Hanya aku dan
Salahuddin sahaja pada masa itu.
Dia menghabis kan masa malam itu
dengan bersembahyang dan
munajat.
Aku berada di sebelahnya ketika
dahinya mencecah bumi sambil
menangis hingga air matanya
mambasahi janggutnya dan menitik
ke tempat sembahyang. Aku tidak
tahu apa yang didoakannya tetapi
aku melihat tanda-tanda doanya
dikabulkan sebelum hari itu
berakhir. Perbalahan berlaku di
antara musuh-musuh yang
menatijahkan berita baik bagi kami
beberapa hari kemudian. Akhirnya
tentera salib membuka khemah-
khemah mereka dan berangkat.
Salahuddin tidak pernah gentar
dengan ramainya tentera Salib yang
datang untuk menentangnya. Dalam
satu peperangan tentera Salib
berjumlah sehingga 600,000 orang,
tetapi Salahuddin menghadapinya
dengan tentera yang jauh lebih
sedikit. Berkat pertolongan Allah
mereka menang, membunuh ramai
musuh dan membawa ramai
tawanan. Ketika mengepung Acre,
pada satu petang lebih dari 70 kapal
tentera musuh beserta senjata berat
mendarat. Boleh dikatakan semua
orang merasa gentar kecuali
Salahuddin. Dalam satu peperangan
yang sengit semasa kepungan ini,
serangan mendadak besar-besaran
dari musuh telah menyebabkan
tentera Islam kalang kabut. Tentera
musuh telah merempuh khemah-
khemat tentera Islam bahkan telah
sampai ke khemah Salahuddin dan
mencabut benderanya. Tetapi
Salahuddin bertahan dengan
teguhnya dan berjaya mengatur
tenteranya kembali sehingga dia
berjaya membalikkan kekalahan
menjadi kemenangan.
Musuh telah kalah teruk dan
berundur meninggalkan lebih
kurang 7,000 mayat-mayat.
Bahauddin ada mencatatkan betapa
besarnya cita-cita Salahuddin. Suatu
hari Salahuddin pernah berkata
kepadanya, Aku hendak beri tahu
padamu apa yang ada dalam hatiku.
Apabila Allah mentakdirkan seluruh
tanah suci ini di bawah
kekuasaanku, aku akan serahkan
tanah-tanah kekuasaanku ini kepada
anak-anakku, kuberikan arahan-
arahanku yang terakhir lalu ku
ucapkan selamat tinggal. Aku akan
belayar untuk menaklukkan pulau-
pulau dan tanah-tanah yang lain.
Aku tak akan meletakkan senjata ku
selagi masih ada orang-orang kafir di
atas muka bumi ini sehingga ajalku
sampai.
Salahuddin memiliki asas
pengetahuan agama yang kukuh.
Dia juga mengetahui setiap suku-
suku kaum Arab dan adat-adat
resam mereka. Bahkan dia
mengetahui sifat-sifat kuda Arab
walaupun dia sebenarnya orang
Kurdish. Dia sangat gemar
mengumpulkan pengetahuan dan
maklumat dari kawan-kawannya dan
utusan-utusannya yang sentiasa
berjalan dari satu penjuru ke satu
penjuru negerinya. Di samping
Quran dia juga banyak menghafal
syair-syair Arab. Lane-Poole juga ada
menuliskan bahawa Salahuddin
berpengetahuan yang dalam dan
gemar untuk mendalami lagi
bidang-bidang akidah, ilmu hadis
serta sanad-sanad dan perawi-
perawinya, syariah dan usul figh dan
juga tafsir Quran.
Kejayaan terbesar Sultan Salahudin
Al Ayubi ialah mengalahkan tentera
Salib pada tahun 1171. Baginda
memerintah selama 22 tahun telah
membina kubu pertahanan dikenali
sebagai al-Qalaah (Citadel) yang
mana melindungi kota Kaherah dan
kota lama al-Fustat dari serangan
musuh. Selepas beliau meninggal
pada tahun 1193 di Damsyik, Syria,
pewaris-pewarisnya telah
memerintah Mesir sehingga tahun
1250.
Stanley Lane Poole (1914) seorang
penulis Barat menyifatkan
Salahuddin sebagai seorang yang
memilliki kelebihan daripada orang
lain kerana menunjukkan akhlak
yang mulia. Menurutnya pada hari
tentera salib menakluk Jerusalem
pada tahun 1099, mereka telah
menyembelih orang-orang Islam
termasuk wanita dan kanak-kanak,
bermula dari pagi hinggalah ke
tengah malam. Pada keesokan
harinya mayat-mayat orang Islam
bertimbun setinggi paras lutut di
sepanjang jalan di Jerusalem.
Tetapi apabila Sultan Salahudin al-
Ayubi menakluk kembali Jerusalem
pada 1187, tentera Islam tidak
membunuh seorang pun penduduk
Jerusalem , malah pada keesokan
harinya Salehudin telah
membenarkan penganut semua
agama (tidak kira sama ada Islam
atau Kristian atau Yahudi) untuk
bersembahyang di tempat-tempat
suci masing-masing di bandar
tersebut.
Satu lagi kebaikan yang ditunjukan
oleh Sultan Salahudin ialah kepada
musuhnya Raja Richard Berhati
Singa yang datang dari England.
Ketika peperangan sedang
berlansung, Raja Richard jatuh sakit
lalu Sultan Saladin mengirimnya
buah-buahan segar, air sejuk dan
seorang dokter. Kerana terharu
dengan kebaikan Sultan Salahudin
maka akhirnya ditandatangani
perjanjian damai pada 1 September
1192 sehingga orang-orang Eropah
berasa takjub bagaimana agama
Islam boleh melahirkan seorang
pahlawan yang baik seperti
Salahudin Al Ayubi.
Sebelum meninggal dunia Sultan
Salahudin Al Ayubi berpesan kepada
anak-anaknya; "Jangan kamu
menumpahkan darah, kerana
apabila darah telah terpercik tidak
ada yang tertidur."
Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H,
pulanglah Salahuddin ke
rahmatullah pada usia 57 tahun.
Bahauddin bin Shaddad, penasihat
utama Salahuddin telah menulis
mengenai hari-hari terakhir
Salahuddin.
Pada malam 27 Safar, 12 hari
selepas jatuh sakit, dia telah menjadi
sangat lemah. Syeikh Abu Jaafar
seorang yang warak telah diminta
menemani Salahuddin di Istana
supaya membaca al Quran.
Memang pada malam itu telah
nampak tanda-tanda berakhirnya

hayat Salahuddin. Syeikh Abu Jaafar
telah duduk di tepi katilnya semenjak
3 hari yang lepas membacakan
Quran. Dalam masa ini Salahuddin
selalu pingsan.
Apabila Syeikh Abu Jaafar
membacakan ayat, Dialah Allah,
tiada tuhan melainkan Dia, Yang
mengetahui yang ghaib dan yang
nyata (Al-Hasyr: 22), Salahuddin
membuka matanya sambil senyum,
mukanya berseri dan denga nada
yang gembira ia berkata, Memang
benar tidak ada Tuhan selain Allah.
Selepas dia mengucapkan kata-kata
itu dia menghembuskan nafasnya
yang terakhir sebelum subuh, 27
Safar.
Seterusnya Bahauddin menceritakan
Salahuddin tidak meninggalkan
harta kecuali 1 dinar 47 dirham.
Harta yang ditinggalkannya tidak
cukup untuk belanja
pengkebumiannya. Bahkan kain
kafan pun diberikan oleh seorang
menterinya.

0 komentar:

Posting Komentar